60 TAHUN SARAWAK MERDEKA: GEORGE CHAN, JABU DAHULUI SENARAI PENERIMA PINGAT 

22/07/2023 03:14 PM

KUCHING, 22 Julai (Bernama) -- Dua bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Dr George Chan Hong Nam dan Tan Sri Alfred Jabu Numpang mendahului senarai 51 individu penerima pingat bersempena dengan Sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka.

Dr Chan dan Jabu dianugerahkan pingat Pemacu Peringatan Terbilang Jubli Intan dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Turut menerima pingat sama ialah bekas Setiausaha Negeri Sarawak Tan Sri Bujang Mohd Nor, bekas Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Leo Moggie dan bekas Ahli Parlimen Kapit Tan Sri Leonard Linggi Jugah.

Sementara itu, 46 penerima dianugerahkan Pingat Peringatan Cemerlang Jubli Intan (Emas).

Antara yang menerima pingat itu ialah tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Turut menerima pingat sama ialah Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing.

Pingat Jubli Intan bersempena dengan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka dianugerahkan kepada mereka yang telah menyumbang jasa dan berkhidmat dengan cemerlang terhadap pembangunan negeri Sarawak.

-- BERNAMA