BOMBA MAHU TAMBAH JUMLAH PANGKALAN UDARA DI SABAH, SARAWAK - KETUA PENGARAH

18/07/2023 03:38 PM

KUCHING, 18 Julai (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang hanya mempunyai sebuah pangkalan Unit Udara di Lapangan Terbang Miri untuk perkhidmatan meliputi Sabah dan Sarawak, sudah mengemukakan cadangan untuk menambah lagi jumlah pangkalan unit itu di kedua-dua negeri berkenaan.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata jabatan itu sudah pun memohon peruntukan tanah daripada kerajaan Sabah dan Sarawak bagi tujuan pembinaan pangkalan udara itu yang diperlukan untuk meningkatkan lagi keberkesanan perkhidmatan mereka.

“Di Sabah, kita telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menterinya (Datuk Hajiji Nor) untuk mendapatkan tanah yang sesuai serta berdekatan dengan lapangan terbang.

 “Di Sarawak pula, kalau ikut perancangan dan pertimbangan dengan pihak kerajaan negeri, jika tidak dapat dibina di Kuching, kita beralih ke kawasan tengah iaitu Sibu, supaya dapat meliputi seluruh Sarawak dengan lebih dekat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba 2020 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2022 JBPM yang turut dihadiri Pengarah JBPM Negeri Sarawak Datuk Khirudin Drahman dan Timbalan Pengarahnya Tiong Ling Hii di sini hari ini.

Abdul Wahab berkata selain di Miri, dua lagi pangkalan unit udara JBPM buat masa ini terletak di Bertam, Pulau Pinang untuk Zon Utara Semenanjung Malaysia dan di Subang, Selangor (Zon Tengah Semenanjung Malaysia).

“(Kalau mengikut) perancangan memang kita mahu kembangkan ke Johor untuk zon Selatan, zon Timur di Pahang, memandangkan di sana ada kawasan khas, termasuklah di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia ke-12, JBPM turut memohon penambahan empat pesawat baharu bagi menambah serta menampung aset yang sedia ada, iaitu dua pesawat bersaiz besar dan dua lagi bersaiz sederhana.

-- BERNAMA