SARAWAK BERUSAHA PEROLEH TIGA KAPAL PERONDA LAJU UNTUK JAGA TAMAN MARIN - PREMIER

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
18/07/2023 04:02 PM

MIRI, 18 Julai (Bernama) – Sarawak sedang berusaha untuk memperoleh tiga lagi kapal peronda laju bagi membolehkan Sarawak Coastguard, pasukan kawalan keselamatan maritim negeri itu menjaga lapan taman negara marin negeri berkenaan.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata perolehan kapal bersaiz besar itu membolehkan pasukan keselamatan meronda lebih lama dan jauh serta menjadi pelengkap kepada agensi penguatkuasaan negeri dan Persekutuan yang lain.

“Kita perlu menjaga taman marin kita dan usaha ini akan melengkapi agensi-agensi penguatkuasaan yang lain,” katanya ketika melancarkan Kapal Peronda Laju Kelas Pulau Sarawak Coastguard dan merasmikan Markas Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) di sini hari ini.

Taman marin yang diwartakan di Sarawak ialah Taman Negara Similajau, Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Talang Satang, Taman Negara Marin Miri-Sibuti, Taman Negara Santubong, Taman Negara Paya Bakau Limbang, Taman Negara Bruit dan Taman Negara Luconia Shoals.

Sementara itu, Abang Johari berkata selepas pembukaan markas di Miri, UKPS akan membuka empat lagi markas iaitu di Telok Melano di Tanjung Datu, Tanjung Manis di perairan tengah Sarawak, Bintulu dan Lawas di utara negeri itu.

“(Pembukaan markas) ini sedang kita uruskan dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya di bawah Rancangan Malaysia ke-12  bertujuan untuk memastikan keanggotaan dan aset-aset berada di kawasan strategik untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Sebanyak RM90 juta telah diperuntukkan dalam Bajet Sarawak 2020 kepada UKPS untuk memperoleh secara terbuka enam kapal peronda laju sepanjang 25 meter yang dilengkapi dengan kelengkapan moden dan sistem pendorong pancutan air untuk bergerak.

Selain menjaga keselamatan pantai Sarawak, kapal-kapal terbabit digerakkan untuk menguat kuasa ordinan negeri, membantu dalam operasi dan menyelamat, kawalan keselamatan semasa acara air rasmi serta membantu penugasan agensi keselamatan lain.

-- BERNAMA