TIGA MAUT KERETA HILANG KAWALAN LANGGAR POKOK

16/07/2023 04:25 PM

SIBU, 16 Julai (Bernama) -- Tiga individu maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki disyaki hilang kawalan sebelum melanggar pokok di Jalan Deshon, di sini hari ini.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Sibu Andy Allie berkata mereka yang meninggal dunia ialah dua lelaki, Tiong Meng Eng, 32, dan Bryan Lau Pick Sing, 27, serta seorang wanita yang belum dikenal pasti identitinya.

“Seorang mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Camelia Lee Mei Kee, 23, yang berada dalam keadaan separuh sedar dan dihantar ke Hospital Sibu,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan kemalangan itu pada 11.34 pagi dan sebuah jentera bersama 11 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah digegaskan ke lokasi kejadian.

Katanya mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

-- BERNAMA