SDEC METERAI MOU DENGAN YAYASAN PENERAJU, TIKTOK BANTU PERNIAGAAN KECIL SARAWAK

Sarawak Digital Economy Corporation fb
24/06/2023 11:42 PM

KUCHING, 24 Jun (Bernama) -- Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bersedia untuk bekerjasama dengan Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) dan TikTok Pte Ltd (TikTok) untuk meningkatkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS).

SDEC telah memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan kedua-dua organisasi pada pelancaran Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana Sarawak 2023 di Miri pada hari Jumaat, kata satu kenyataan yang dikeluarkan bersama SDEC dan Yayasan Peneraju malam ini.

MOU antara SDEC dan Yayasan Peneraju, yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi dan memberi tumpuan kepada pembangunan bakat tenaga kerja Bumiputera itu bertujuan mewujudkan hubungan kerja bagi pelaksanaan program kedua-dua pihak.

Menurut kenyataan itu kedua-dua organisasi berhasrat untuk mengembangkan kemahiran digital masyarakat setempat dan membangunkan usahawan yang celik digital dan perniagaan yang bersedia menuju ke arah Industri 4.0.

Sementara itu, SDEC dan TikTok menyasarkan untuk meneroka peluang berpotensi yang boleh ditawarkan oleh platform pembeli-belah hibur itu kepada penjual dari Sarawak di bawah inisiatif Sarawak Digital Mall.

“Inisiatif ini menyediakan latihan oleh pasukan TikTok Shop (MY) dan TikTok for Business, baucar diskaun, kredit iklan tajaan, tapak mikro khusus dan banyak lagi aktiviti,” kata kenyataan itu.

MOU itu disaksikan oleh Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi K. Saraswathy.

Sementara itu, kenyataan itu berkata SDEC akan menganjurkan Sarawak Digital Mall – TikTok Shop Bootcamp di Kuching (pada 15-16 Julai), Miri (17-18 Julai), dan Sibu (20-21 Julai).

-- BERNAMA