GURU PERLU TERAP NILAI 'ESG' UNTUK LAHIRKAN MASYARAKAT PEKA ALAM SEKITAR

Tan Sri Abang Johari Tun Openg
19/06/2023 05:42 PM

SARIKEI, 19 Jun (Bernama) -- Para guru perlu menerapkan nilai-nilai yang sejajar dengan prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam kalangan pelajar mereka, bagi melahirkan masyarakat yang peka kepada isu alam sekitar seperti perubahan iklim global.

Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata langkah itu juga, sejajar dengan tuntutan di bawah konsep Malaysia MADANI selain membolehkan guru mengangkat martabat negeri, dan membawanya untuk mencapai status maju menjelang 2030.

“Para guru perlu melengkapkan diri, supaya dapat memudah cara pembelajaran para murid dengan pemahaman dan kesedaran tentang ilmu serta maklumat yang relevan dengan zaman mereka,” kata beliau dalam ucapannya untuk Majlis Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Dan Tokoh Guru Sarawak 2023, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan St Anthony di sini hari ini.

Dalam teks ucapan beliau yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Abang Johari berkata pemahaman dan kesedaran ilmu itu penting, bagi melengkapkan rakyat Sarawak dengan pengetahuan dan kemahiran seiring era digital dan revolusi industri 4.0.

“Era industri 4.0 kini amat memerlukan golongan pekerja yang memiliki pelbagai kemahiran teknologi dalam meningkatkan kecekapan kerja.

Abang Johari berkata menerusi Kementerian Pendidikan, Innovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, kerajaan negeri melaksanakan dasar untuk melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan, demi menambah baik pembangunan pendidikan negeri itu agar terus dinamik.

Beliau berkata masa hadapan ekonomi Sarawak yang mampan, bergantung penuh kepada keupayaannya membangunkan sumber yang ada, dengan mengambil kira kepentingan alam sekitar, kelestarian sumber dan tadbir urus yang baik.

Dalam majlis itu bekas Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus, diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan 2023, manakala Awangku Merali Pengiran Mohamed yang terkenal dengan penulisan pelbagai buku dan kegiatan seni, menerima anugerah Tokoh Guru Sarawak.

-- BERNAMA