MALAYSIA PENUHI JANJI KEKALKAN 50 PERATUS LITUPAN HUTAN - HUANG

Datuk Seri Huang Tiong Sii
12/06/2023 07:16 PM

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Hampir tiga dekad, Malaysia berjaya memenuhi janjinya untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah di bawah litupan hutan dan pokok, kata Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Beliau berkata komitmen itu dapat dilihat dalam pemuliharaan litupan kawasan berhutan negara yang kini berjumlah 54.6 peratus atau 18.04 juta hektar daripada keluasan tanah Malaysia.

“Pada Sidang Kemuncak Bumi Rio pada 1992, Malaysia telah berikrar untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah Malaysia di bawah litupan hutan dan pokok.

“Saya bangga untuk menyatakan Sarawak adalah penyumbang terbesar kepada litupan hutan Malaysia secara keseluruhan iaitu 42 peratus atau 7.6 juta hektar daripada jumlah litupan hutan di negara ini,” katanya semasa majlis perasmian Persidangan Pemuliharaan Hutan di sini hari ini.

Persidangan dua hari itu yang bermula hari ini dilancarkan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadi platform bagi pihak berkepentingan dalam pemuliharaan dan perlindungan ekosistem semula jadi yang terancam untuk berkongsi pengetahuan dan mencorakkan masa depan, usaha pemuliharaan di hutan kekal Sarawak. 

Huang berkata perjalanan Malaysia dalam mencapai pembangunan mampan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.

Beliau berkata Dasar Perhutanan Malaysia dan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025 merupakan dokumen penting yang menyediakan rangka kerja itu, meliputi setiap aspek termasuk pengurusan ekosistem, perlindungan dan pemuliharaan hutan.

“Malaysia juga telah memulakan program penghutanan semula di seluruh negara di kawasan pemecahan untuk memastikan sambungan biologi.

“Satu daripadanya ialah Agenda Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dalam tempoh lima tahun dari 2021 hingga 2025, dengan slogan ‘Pokok Kita, Kehidupan Kita’. Sehingga 31 Mei 2023 lebih daripada 60 juta pokok telah ditanam di seluruh negara,” katanya.

-- BERNAMA