AIFFA 2023 TERIMA LEBIH 120 PERMOHONAN PENYERTAAN

Credit: AIFFA Facebook
12/06/2023 06:16 PM

KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Lebih 120 permohonan untuk menyertai Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2023 telah diterima setakat ini, yang dijadualkan berlangsung di bangunan Old Courthouse di sini dari 2 hingga 4 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting berkata penyertaan itu akan disenarai pendek oleh panel juri dari negara anggota ASEAN, serta beberapa negara lain di luar rantau ini, yang diketuai oleh pengarah filem Malaysia, U Wei Saari.

“Ini adalah kali keenam AIFFA diadakan di Kuching dan secara peribadi pada pandangan saya (dengan jumlah penyertaan yang ramai) ia akan menjadi pertandingan yang sengit kali ini,” katanya pada sidang media mengenai festival itu di sini hari ini.

Beliau berkata 17 anugerah akan dipertandingkan pada festival tahun ini, dan buat pertama kalinya kategori ASEAN Sustainable Development Goals (SDGs) University Short Film (ASUS) akan ditampilkan.

“Tayangan filem akan diadakan selama tiga hari untuk filem yang disenarai pendek. Mereka yang menggemari filem boleh menontonnya secara percuma, di samping bertemu dengan pelakon serta kru di auditorium Old Courthouse,” katanya dan menambah bengkel mengenai pembikinan filem dan dokumentari juga akan dianjurkan semasa festival itu.

-- BERNAMA