SMDS AKAN TARIK LEBIH BANYAK KERJASAMA MELALUI SIMPOSIUM TENAGA HIJAU

06/06/2023 06:04 PM

KUCHING, 6 Jun (Bernama) -- Sarawak Microelectronics Design Semiconductor (SMDS), penyedia penyelesaian teknologi dan reka bentuk mikro cip milik kerajaan negeri, berharap dapat menarik lebih banyak kerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan dengan menyertai Simposium dan Pameran Tenaga Hijau 2023 selama dua hari yang bermula di sini pada 7 Jun. 

Ketua Pegawai Eksekutif Shariman Jamil berkata penyertaan SMDS akan menjadi langkah strategik yang sejajar dengan Matlamat Strategik Sarawak 2023-2027 untuk mencerminkan komitmennya ke arah memacu pembangunan mampan di rantau ini.

Katanya kerjasama tersebut akan memudahkan SMDS untuk mencapai matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peralihan semasa ke arah teknologi hijau.

“Kami perlu memperkenalkan kes perniagaan baharu, produk dan aplikasi yang memenuhi keperluan unik pihak berkepentingan dan yang paling penting, fokus kepada penyelesaian yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pasukan jurutera dan pereka SMDS adalah pakar dalam aspek reka bentuk litar bersepadu khusus aplikasi (ASIC) dan dengan pengetahuan mereka mengenai alatan dan teknologi terkini, mereka yakin dapat membangunkan penyelesaian yang cekap dan menjimatkan kos yang menyeluruh.

Pada simposium itu, Shariman akan memberikan ceramah bertajuk “Reimagining the Sarawak Sustainable Digital Future”. 

“Penglibatan ini juga penting berikutan kami menyasarkan untuk menarik pelabur, pihak berkepentingan serta anak muda Sarawak untuk mengambil bahagian secara aktif dalam menyediakan ekosistem Sarawak dan menjadikan Sarawak sebagai antara hab reka bentuk litar bersepadu terkemuka di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA