INISIATIF DIGITAL DIJANGKA SUMBANG RM56.4 BILION KEPADA KDNK SARAWAK – ABANG JOHARI

24/05/2023 06:21 PM

KUCHING, 24 Mei (Bernama) -- Inisiatif ekonomi digital yang dilaksanakan kerajaan Sarawak dijangka menyumbang kira-kira RM56.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri menjelang 2030.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jumlah itu meliputi kira-kira 20 peratus daripada KDNK negeri menjelang tahun tersebut memandangkan lebih 45,000 peluang pekerjaan baharu yang berpendapatan tinggi akan diwujudkan, dengan 80 peratus daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerimaguna pendigitalan.

“Menjelang 2030, tidak akan ada perbezaan antara ekonomi digital dan ekonomi. Semua segmen ekonomi, iaitu perlombongan, pertanian dan perhutanan, pembuatan, pembinaan, dan perkhidmatan akan dipacu secara digital. 

“Pada asasnya, langkah ini akan meningkatkan produktiviti, hasil, kecekapan dan menjana pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat kita,” katanya ketika menggulung usul terima kasih kepada ucapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri merangka Pelan Tindakan Ekonomi Digital Sarawak 2030 sebagai pelan hala tuju untuk mentransformasikan negeri itu daripada ekonomi berasaskan sumber konvensional kepada ekonomi berasaskan teknologi yang mampan.

Menurutnya, pelan tindakan itu berpaksikan kepada lima tonggak strategik meliputi keutamaan ekonomi, perniagaan digital, transformasi sektor awam, penerimagunaan teknologi canggih dan kesediaan digital.

“Pelan tindakan itu menyasarkan Sarawak memanfaatkan peratusan pengaliran ekonomi digital global ke Sarawak melalui strategi untuk mengembangkan aliran data rentas sempadan dengan mewujudkan pusat data, penyampaian perkhidmatan digital dan pelaburan langsung asing digital,” katanya.

-- BERNAMA