PEMBANGUNAN MODAL INSAN KEUTAMAAN SARAWAK - ABANG JO

21/04/2023 05:14 PM

KUCHING, 21 April (Bernama) -- Pembangunan modal insan terlatih dan berpengetahuan luas dengan sistem pendidikan bertaraf dunia jadi keutamaan Sarawak dalam misi mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata fokus kepada modal insan itu penting kerana kekayaan sumber asli semata-mata tidak menjamin kejayaan sepenuhnya.

Katanya Sarawak boleh belajar dari negara seperti Singapura dan Jepun yang mampu menjadi sebuah kuasa ekonomi besar kerana kekuatan sumber manusianya walaupun tidak mempunyai sumber asli.

“Oleh itu, Sarawak di bawah Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperkukuhkan sistem pendidikan negeri ini selaras dengan Peruntukan Fasal 17 Inter-Governmental Committee Report (IGC) yang memberi kuasa kepada Sarawak untuk menentukan dasar sistem pendidikannya sendiri walaupun pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Abang Johari yang juga Pengerusi GPS berkata demikian dalam Perutusan Hari Raya Aidilfitri di sini, hari ini. 

Abang Johari berkata kesungguhan kerajaan Sarawak dalam melahirkan modal insan bertaraf global boleh dilihat daripada cadangan penubuhan lima sekolah antarabangsa yang menggunakan silibus Cambridge.

“Salah satu daripada sekolah itu telah beroperasi di Kuching.

“Selain itu, Sarawak mempunyai empat universiti yang dimiliki melalui Yayasan Sarawak iaitu Swinburne University of Technology, Curtin University, University of Technology Sarawak (UTS) dan iCATS University College. Sarawak juga mempunyai pusat latihan CENTEXS yang memiliki kampus cawangan di beberapa kawasan di negeri ini,”katanya.

Sementara itu Abang Johari berkata melalui peruntukan RM5.6 bilion kepada negeri Sarawak dalam Belanjawan 2023, keutamaan akan diberikan kepada usaha mempertingkatkan taraf kemudahan seperti jalan raya, klinik dan sekolah.

“Walaupun jumlah peruntukan ini tidak mencukupi, tetapi kita harus menggunakan jumlah yang disalurkan dengan sebaik-baiknya untuk memberi keselesaan kepada rakyat.

“Dengan pendapatan negeri yang dijangka terus meningkat kerajaan Sarawak turut akan meneruskan pembinaan jalan raya dan melengkapkan pembangunan utiliti seperti bekalan elektrik dan air di kawasan luar bandar,” katanya.

-- BERNAMA