YAYASAN PERUMAHAN RAKYAT DIRANCANG BANTU GOLONGAN KURANG BERKEMAMPUAN BINA RUMAH

Dr Annuar Rapaee (File pix)
18/04/2023 06:19 PM

SIBU, 18 April (Bernama) -- Sebuah yayasan khusus bagi membantu golongan tidak berkemampuan untuk membina rumah kediaman akan ditubuhkan di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri Nangka di sini tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr Annuar Rapaee berkata penubuhan Yayasan Perumahan Rakyat itu kini di peringkat mendapatkan kelulusan daripada kerajaan.

Katanya berteraskan kepada kerjasama dengan pihak swasta dan sumbangan masyarakat, yayasan itu nanti akan membantu golongan tidak berkemampuan bagi membina rumah yang baik dan selesa untuk keluarga mereka.

“Idea ini timbul hasil perbincangan bersama dengan beberapa orang rakan saya. Pembinaan rumah itu nanti akan bergantung kepada derma daripada pihak swasta dan masyarakat dari segi dana ataupun pemberian ikhlas,” kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Rumah Bina Baru di Bawah Program Jiwa Murni Kawasan DUN Nangka kepada dua keluarga di Kampung Seduan Jaya dekat sini hari ini yang dilaksanakan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dengan kos RM170,000.

Dr Annuar menjelaskan bahawa dengan dana yang hanya akan diperolehi melalui derma pihak swasta dan masyarakat, beliau menjangka jumlah rumah yang dibina tidak banyak, dan tidak semua yang memohon akan mendapatnya.

“Kriteria bagi kelulusan permohonan adalah ketat kerana pembinaan bergantung kepada sumbangan yang diterima,” katanya sambil menambah walaupun yayasan itu hanya akan berfokus di kawasan DUN Nangka sahaja, dan ia boleh menjadi model untuk kawasan-kawasan lain.

Rumah itu kelak akan dibina di bawah program jiwa murni dengan JBPM Sarawak dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan diajak untuk menjadi rakan pelaksana.

Dr Annuar berkata langkah penubuhan yayasan itu adalah untuk mempercepatkan bantuan penyediaan rumah kepada golongan kurang berkemampuan berbanding melalui permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang terpaksa melalui banyak proses.

Sementara itu Pengarah JBPM Sarawak Datuk Khirudin Drahman@Hussaini memberitahu pihaknya bersedia menjadi rakan pelaksana kepada yayasan berkenaan.

“Apa sahaja yang memberi manfaat kepada masyarakat, kami bersedia untuk menyertainya,” katanya.

-- BERNAMA