PENERIMA ANUGERAH GRAMMY GIPSY KING BUAT PERSEMBAHAN DI RWMF 2023

04/04/2023 03:30 PM

KUCHING, 3 April (Bernama) -- Acara muzik antarabangsa terkenal Sarawak, Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) kembali lagi dengan bertemakan ‘Reflection’ yang dijadual berlangsung pada 23 hingga 25 Jun ini di Kampung Budaya Sarawak.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata antara yang akan membuat persembahan pada festival itu ialah penerima Anugerah Grammy, kumpulan Gipsy Kings dari Perancis dan Big Mountain, dari Jamaica yang terkenal dengan mendendangkan semula lagu “Baby, I Love Your Way”, nyanyian Peter Frampton.

Beliau berkata RWMF akan terus menghimpunkan pelbagai jenis muzik dan pemuzik dari seluruh benua, sekali gus menyediakan ruang untuk muzik tempatan menyerlah.

“Sarawak berbangga dengan pencapaian RWMF yang bermula sederhana dengan hanya 300 penonton di konsert pertama pada 1998 untuk menjadi festival yang berprestij di negeri ini. RWMF telah berkembang dan pada masa ini menjadi pendukung Inisiatif Pelancongan Bertanggungjawab.

“Saya berbangga untuk mengongsikan bahawa RWMF akan terus memperjuang kelestarian, sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk memartabatkan negeri sebagai peneraju terkemuka dalam Pelancongan Bertanggungjawab dan destinasi utama bagi ekopelancongan di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media penganjuran RWMF 2023 di sini hari ini.

Menurut Abdul Karim, seramai 96 pemuzik dari 12 negara akan membuat persembahan di festival tahun ini bagi mempersembahkan berbagai-bagai genre muzik iaitu Tanzania, Maldives, Iran, Jamaica, United Kingdom, India, Indonesia, Thailand, Jepun, Perancis, Hong Kong and Singapura.

Tiket festival itu akan dijual bermula 15 April ini dan maklumat lanjut boleh diperoleh dari laman web www.rwmf.net.

-- BERNAMA