PBB ANJUR KONVENSYEN SEMPENA 60 TAHUN SARAWAK MERDEKA - ABANG JO

01/04/2023 07:18 PM

KUCHING, 1 April (Bernama) -- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengadakan konvensyen sempena sambutan 60 tahun Sarawak Merdeka.

Presiden PBB Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata konvensyen itu akan diadakan di tiga zon melibatkan kawasan selatan, tengah dan utara Sarawak, namun tarikh penganjurannya akan diumumkan nanti.

“Melalui konvensyen itu kita akan kemas kini maklumat kepada ahli tentang kemajuan yang dicapai dan hala tuju parti untuk masa depan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PBB di sini, hari ini.

Sementara itu, Abang Johari yang juga Premier Sarawak menyarankan agar semua lawatan melibatkan Menteri Persekutuan ke Sarawak haruslah dimaklumkan kepada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Menurutnya ini bagi melancarkan proses penyelarasan sepanjang lawatan menteri itu di Sarawak. 

“Kadang-kadang kita perlukan pandangan daripada pegawai negeri terutamanya berhubung projek mana yang hendak kita laksanakan di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA