SEDC ENERGY SERAH TIGA KENDERAAN FCEV UNTUK KEGUNAAN KERAJAAN SARAWAK

22/03/2023 02:47 PM

KUCHING, 22 Mac (Bernama) -- SEDC Energy Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) hari ini menyerahkan tiga kenderaan elektrik sel bahan bakar (FCEV) berjenama Toyota Mirai yang digerakkan menggunakan gas hidrogen, kepada kerajaan Sarawak.

Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain menyerahkan kenderaan itu masing-masing kepada ketiga-tiga Timbalan Premier Sarawak iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang diwakili Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh.

Majlis penyerahan yang diadakan di bangunan Wisma Bapa Malaysia itu disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut Abdul Aziz, terdapat lima kenderaan FCEV di Malaysia dengan Sarawak menjadi negeri pertama menggunakannya memandangkan negeri ini mempunyai stesen hidrogen, selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadi peneraju dalam mobiliti hijau dan tenaga hijau.

“Kita ada lima buah sahaja di Malaysia, masing-masing sebuah untuk kegunaan SEDC dan Premier Sarawak dan tiga lagi untuk Timbalan Premier. Sebenarnya kenderaan ini untuk kerajaan Persekutuan  tetapi di sana (Semenanjung Malaysia) tidak ada stesen hidrogen, jadi semuanya digunakan di sini,” katanya selepas majlis itu.

Abdul Aziz berkata menteri-menteri Kabinet Sarawak yang lain akan turut menggunakan kenderaan FCEV tahun depan sekiranya ada peruntukan sejajar dengan usaha untuk mempopularkan penggunaan kenderaan itu di negeri ini.

Sementara itu, SEDC Energy Sdn Bhd dalam satu kenyataan memaklumkan penggunaan kenderaan itu menyediakan ruang kepada Sarawak untuk menilai dan membangunkan penyelesaian mampan jangka panjang, selain peluang untuk mengkaji potensi teknologi kenderaan FCEV bagi menyokong keperluan mobiliti semasa.

“Penambahan Toyota Mirai dalam barisan kepimpinan kerajaan Sarawak menunjukkan komitmen Premier dan Timbalan Premier mengotakan janji untuk merealisasikan peralihan ekonomi hijau negeri yang mampan menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.

SEDC Energy Sdn Bhd ialah agensi yang berperanan untuk mewujudkan kesedaran serta mempromosikan penggunaan kenderaan tenaga hijau kepada orang ramai sebagai langkah ke arah pelepasan sifar bagi mengurangkan perubahan iklim.

-- BERNAMA