LEBIH BANYAK PELABURAN ASING BERKAITAN TENAGA DI SARAWAK AKAN DIUMUMKAN PADA IEW 2023

Dr Hazland Abang Hipni
21/03/2023 07:45 PM

KUCHING, 21 Mac (Bernama) – Kerajaan Sarawak akan mengumumkan beberapa lagi pelaburan asing berkaitan tenaga pada Ekspo dan Sidang Kemuncak Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) 2023.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri, Dr Hazland Abang Hipni yang tidak memperincikan pelaburan tersebut berkata, pihaknya memberi jaminan pelaburan itu akan menjadi antara acara kemuncak IEW 2023, yang digelar sebagai yang terbesar seumpamanya di Borneo.

“Acara ini juga akan menyerlahkan inisiatif Sarawak untuk menjadi peneraju dalam memanfaatkan sumber tenaga mampan yang besar bagi menjana ekonominya dan meletakkan dirinya sebagai hab tenaga bersih utama,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata projek Autonomous Rapid Transit (ART) Sarawak yang dikuasakan dengan hidrogen akan dipamerkan pada ekspo itu, yang antara lain akan melibatkan produk dan perkhidmatan oleh 200 syarikat berkaitan tenaga dari seluruh dunia.

Pendaftaran untuk Ekspo dan Sidang Kemuncak IEW 2023, yang akan diadakan di Kuching dari 13 hingga 15 Jun, dibuka kepada pelawat perdagangan yang berminat secara percuma di www.iew.my.

-- BERNAMA