IBU BAPA PERLU PUPUK MINAT ANAK-ANAK DALAM BIDANG STEM -- FADILLAH

Deputy Prime Minister Datuk Seri Fadillah Yusof (middle)
12/03/2023 06:02 PM

KUCHING, 12 Mac (Bernama) -- Ibu bapa harus memupuk minat anak-anak untuk meminati bidang Sains, Teknologi. Kejuruteraan dan Matematik (STEM) agar mereka mampu menempuh cabaran di masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata penguasaan bidang STEM akan membolehkan Malaysia mampu bersaing dengan negara maju serta melonjak ke tahap yang lebih baik.

“Di Petra Jaya, kita sudah tubuhkan Biro Pendidikan untuk menyokong pihak sekolah dalam menyediakan apa sahaja bentuk sokongan dalam pendidikan termasuklah program STEM.

“Kepada mana-mana pihak yang mahu menyalurkan bantuan, adalah dialu-alukan untuk datang ke pusat khidmat Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN) di Petra Jaya,” katanya.

Fadillah yang juga merupakan Ahli Parlimen Petra Jaya berkata demikian ketika berucap pada Program Kembali ke Sekolah P124 Petra Jaya yang diadakan di pasar raya Mydin di sini, hari ini.

Pada majlis itu, 1,500 pelajar dari tiga kawasan DUN di bawah Parlimen Petra Jaya iaitu Satok, Tupong dan Samariang, menerima bantuan berbentuk baucer peralatan persekolahan bernilai RM100.

Tambah Fadillah, walaupun jumlah itu kecil namun sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.

-- BERNAMA