946 PERMOHONAN KEWARGANEGARAAN DI SARAWAK DIMUKTAMADKAN JUN INI - SAIFUDDIN

09/03/2023 04:05 PM

KUCHING, 9 Mac (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memuktamadkan kesemua 946 permohonan yang diterima dari Sarawak bagi mendapatkan taraf kewarganegaraan selewat-lewatnya Jun ini, kata Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. 

Beliau berkata jumlah berkenaan diperoleh menerusi Jawatankuasa Khas Kewarganegaraan yang ditubuh antara Kerajaan Persekutuan dan Sarawak, merangkumi Perkara 15(A), Perkara 15(2), Perkara 16, Perkara 19 dan Perkara 30 di bawah peruntukan Persekutuan Perlembagaan. 

“Sejak jawatankuasa ini dibentuk pada Januari, kami menerima 946 permohonan...angka ini tidak statik dan berubah dari semasa ke semasa. Sebelum ini kami dah luluskan 177 permohonann dan pagi tadi kami selesai memuktamadkan 146 permohonan sama ada ia berjaya atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Keputusan Kewarganegaraan di sini, hari ini. 

Dalam majlis itu, seramai 40 kanak-kanak dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia selaras dengan Perkara 15(A) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan boleh, dalam apa-apa keadaan khas yang difikirkannya patut, menyebabkan mana-mana orang di bawah umur 21 tahun didaftarkan sebagai warganegara. 

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama erat KDN dan Kementerian Pembangunan Wanita Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang diterajui Datuk Seri Fatimah Abdullah telah memudahkan proses meneliti permohonan dalam usaha menyelesaikan isu kewarganegaraan kanak-kanak di negeri itu. 

Saifuddin Nasution berkata antara cabaran yang perlu diharungi kedua-dua pihak termasuk memastikan pemohon mengambil tanggungjawab menghantar dokumen yang lengkap, selain mengemukakan dokumen sah seperti sijil pernikahan dan kelahiran anak.  

“Disebabkan berlaku kelemahan dan kurang pengetahuan permohonan dari aspek melengkapkan dokumen, kami menubuhkan pasukan petugas khas (PPK) di Sarawak berjumlah lebih 30 petugas untuk melaksanakan program ‘outreach’ bagi membantu melengkapkan proses pendokumentasian (pemohon), terutamanya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya. 

Tambahnya, KDN menerima sejumlah 55,000 permohonan kewarganegaraan dari 2017 hingga kini dengan sasaran untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 10,000 permohonan pada tahun ini.

-- BERNAMA