KERAJAAN SARAWAK KAJI KEMUNGKINAN BENARKAN PKS GUNA ALAMAT KEDIAMAN DAFTAR PERNIAGAAN

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
07/03/2023 09:02 PM

KUCHING, 7 Mac (Bernama) -- Sarawak akan meneliti kemungkinan membenarkan usahawan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) menggunakan alamat rumah kediaman masing-masing bagi mendaftarkan perniagaan mereka.

Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini memandangkan semakin ramai usahawan PKS termasuk yang beroperasi secara dalam talian menjalankan perniagaan mereka dari rumah.

“Kita mahu memperincikan lagi soal ini, bukan sahaja sebagai alamat untuk perniagaan malah juga apakah bentuk perniagaan yang mereka boleh jalankan dari rumah,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Pembangunan Usahawan Sarawak di sini, pada Selasa.

Beliau berkata semasa mesyuarat itu kementeriannya telah menerima garis panduan berkaitan perniagaan dari rumah daripada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Bagi jangka masa pendek, pihaknya bersetuju membenarkan ruang di premis perniagaan atau pusat inkubator usahawan di bawah agensi kerajaan negeri termasuk anjung usahawan digunakan sebagai alamat bagi usahawan PKS terbabit, katanya.

Awang Tengah berkata ini bagi memudahkan lebih ramai usahawan di Sarawak mendaftarkan perniagaan mereka dan seterusnya mendapat bantuan yang disediakan kerajaan.

“Di Sarawak, berdasarkan banci tahun lepas terdapat kira-kira 89,000 usahawan PKS yang berdaftar,” katanya.

-- BERNAMA