PUSAT LATIHAN KEPIMPINAN AKAN DITUBUHKAN DI PETRA JAYA - FADILLAH

Deputy Prime Minister Datuk Seri Fadillah Yusof (left)
04/03/2023 02:44 PM

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof merancang membina sebuah pusat latihan di kawasan Parlimennya bagi membangunkan kemahiran kepimpinan dalam kalangan belia mencakupi pelbagai bidang seperti politik, korporat dan perniagaan.

“Ini adalah rancangan saya untuk golongan belia jadi kita dapat melahirkan pemimpin Sarawak yang berkualiti. Saya harap dapat realisasikan misi ini dalam penggal ini,” kata Fadillah kepada pemberita pada program ‘Juh Bekpes’ bersama belia di Metrocity di sini hari ini.

Fadillah, yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata idea itu hasil maklum balas yang beliau kumpulkan dalam sesi libat urus bersama golongan belia di kawasan berkenaan. 

Beliau berkata selain dapat mengukur sentimen generasi muda, penglibatan itu juga membolehkan beliau berkongsi aspirasinya.

“Saya berharap mereka dapat didedahkan (dalam latihan) bukan hanya di negeri itu tetapi juga di peringkat kebangsaan dan antarabangsa jadi mereka akan dapat meneruskan perjuangan kami untuk memajukan lagi Sarawak,” tambah beliau.

Pada program sarapan pagi itu, Fadillah meluangkan masa mendengar maklum balas daripada 45 belia berusia lingkungan 18 hingga 28 tahun yang menetap di kawasan Petra Jaya.

-- BERNAMA