RUNDINGAN M'SIA-THAILAND BAGI CPOPC DIMUKTAMAD SELEPAS PILIHAN RAYA THAILAND - FADILLAH

04/03/2023 01:20 PM

KUCHING, 4 Mac (Bernama) -- Malaysia akan memuktamadkan rundingan dengan Thailand untuk bersama-sama menjadi ahli Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) selepas negara berkenaan selesai mengadakan pilihan raya umum, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata setakat ini, Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menjadi ahli CPOPC yang bertujuan menyuarakan isu halangan perdagangan yang diskriminatif terhadap negara pengeluar minyak sawit dan getah ke peringkat Asean. 

“Tarikh untuk ke Thailand bagi membincangkan hal itu belum ditetapkan lagi kerana lebih sesuai untuk tunggu selepas pilihan raya selesai...sekiranya ada pertukaran (kerajaan), risau ia tidak memuktamadkan apa yang kita telah rundingkan,” katanya kepada pemberita selepas program ‘Juh Bekpes’ bersama belia di sini hari ini. 

Fadillah pada 28 Februari lepas berkata Malaysia telah mempelawa Thailand untuk bersama-sama menjadi ahli CPOPC memandangkan suara mengenai isu negara pengeluar minyak sawit dan getah akan menjadi lebih besar dan lantang sekiranya Malaysia, Indonesia dan Thailand bergabung. 

Mesyuarat Menteri CPOPC akan diadakan pada Mei yang menyaksikan Malaysia sebagai pengerusi pada tahun ini.

Dalam pada itu, Fadillah berkata tahap kemasukan pekerja asing ke Malaysia semakin baik dengan hampir 80 peratus kapasiti syarikat sudah dipenuhi di seluruh negara susulan dasar yang dilaksanakan kerajaan bagi memudah cara kemasukan pekerja asing. 

Bagaimanapun, menurutnya Sarawak masih menghadapi masalah membawa masuk pekerja Indonesia ke negeri itu. 

“Pekerja Indonesia yang hendak masuk ke sini ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi. Oleh itu, mereka (Indonesia) tidak membenarkan pekerjanya masuk ke Sarawak. Bagi menyelesaikan masalah ini, kita akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk melihat kaedah bagi memudahkan kemasukan mereka,” katanya. 

-- BERNAMA