AKSI TUAN RUMAH MEMUKAU, PESILAT NEGARA KE SEPARUH AKHIR

Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia - Pesaka fb
02/03/2023 10:47 PM

KUCHING, 2 Mac (Bernama) -- Kejohanan Silat Antarabangsa Premier Sarawak 2023 (SPISC) yang memasuki hari ketiga menyaksikan kem silat tuan rumah menyerlahkan kehebatan selepas tiga atlet Sarawak berjaya mengesahkan tempat ke separuh akhir pada sesi pagi tadi. 

Rumpun Silat Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan tiga atlet berkenaan Azizy Arbi yang beraksi bagi kategori Solo Kreatif Putra senior, Zureen Zulyka Zaidel (Tunggal Baku Putri senior) dan  Nur Inatha Khairuniyah Wira (Solo Kreatif Putri). 

Kenyataan itu memaklumkan Azizy menewaskan rakan sepasukannya, Mohammad Shamiezal Shapian di suku akhir dengan meraih 9.840 mata.

Selain itu, Zureen menghampakan pencabarnya, Hananzohira Harif dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan pungutan mata 9.9 berbalas 9.39, manakala Nur Inatha Kharuniyah menundukkan Nur Sofea Nadillah juga dari ATM.

Menurut kenyataan itu, antara atlet yang berjaya mara ke separuh akhir termasuk pesilat dari Johor Muhammad Khairul Shaddad Ardi bagi kategori Tunggal Baku Putra senior, pasangan adik-beradik Muhammad Danial Azray Noorazizan dan Muhammad Danial Azroy Noorazizan (Ganda Putra senior) serta Nur Syafiqah Hamzah (Tunggal Baku Putri senior). 

Berlangsung di Stadium Perpaduan Negeri di sini, kejohanan itu menawarkan hadiah wang tunai berjumlah US$20,000 (RM87,510) dan tali pinggang kejuaraan bagi juara keseluruhan.

-- BERNAMA