SARAWAK BERSEDIA KONGSI PENGALAMAN BANGUNKAN TENAGA LESTARI DENGAN NEGARA JIRAN – ABANG JOHARI

Credit: Sarawakku Facebook
01/03/2023 01:23 PM

KUCHING, 1 Mac (Bernama) -- Sarawak bersedia untuk berkongsi pengalamannya dengan negara-negara jiran dalam bidang penjanaan tenaga boleh diperbaharui demi manfaat bersama daripada segi kelestarian alam sekitar dan ekonomi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak sudah memiliki pengalaman membangunkan tiga projek hidroelektrik di Batang Ai, Sri Aman, Bakun dan Murum (kedua-duanya di Kapit) untuk membantu negara jirannya.

“Sarawak sudah membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat dan langkah seterusnya ialah penyaluran ke Sabah dan Brunei,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Facebook Premier Sarawak hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena lawatan beliau ke Malinau di Kalimantan Utara, Indonesia atas jemputan PT Kayan Hydropower Nusantara (PT KHN), sebuah syarikat pegangan pelaburan Indonesia.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni.

PT KHN akan membangunkan stesen jana kuasa hidroelektrik terbesar di Indonesia yang terletak di Sungai Mentarang, kira-kira 35 kilometer dari Malinau.

Presiden Indonesia Joko Widodo dijangka akan melakukan upacara pecah tanah projek tersebut, ia menelan kos sebanyak USD2.6 bilion.

Syarikat pembekal tenaga utama milik kerajaan Sarawak, Sarawak Energy Berhad adalah rakan kongsi dalam projek hidroelektrik itu, ia mampu menjana 1,375 Megawatt tenaga elektrik untuk zon industri Kalimantan Utara.

Projek pembinaannya akan dimulakan pada suku pertama tahun depan dan dijangka siap pada akhir 2029 serta beroperasi sepenuhnya pada tahun berikutnya.

-- BERNAMA