MAJORITI PERUNTUKAN UNIFOR 2023 BAIK PULIH SEKOLAH USANG DI NEGERI SARAWAK

Credit: Jabatan Penerangan Sarawak
20/02/2023 03:22 PM

KUCHING, 20 Feb (Bernama) -- Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di bawah Jabatan Premier Sarawak akan menggunakan sebahagian besar daripada peruntukan RM100 juta yang diberikan tahun ini untuk menaik taraf bangunan sekolah mubaligh dan sekolah persendirian Cina di negeri itu.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pertambahan peruntukan itu penting bagi mewujudkan suasana keharmonian dalam kalangan masyarakat Sarawak.

“Sekolah mubaligh ada yang usang (terutamanya) yang di luar bandar, dan mereka mahukan bantuan untuk membaiki sekolah, contohnya Sekolah Methodist di luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Minggu Keharmonian Antara Agama Sedunia Malaysia 2023, di sini hari ini.  

Katanya sebahagian kecil daripada bantuan dana berkenaan pula digunakan untuk membaik pulih rumah ibadat di seluruh Sarawak. 

Sebelum ini, media melaporkan kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan sejumlah RM100 juta untuk UNIFOR untuk 2023 sebagai bukti kerajaan melindungi kesejahteraan rakyat Sarawak dalam memastikan semua agama di negeri ini sentiasa terus dijaga.

-- BERNAMA