SUDAH TIBA MASANYA JADIKAN KETERSAMBUNGAN 5G SEBAGAI KEUTAMAAN RAKYAT SARAWAK - LIWAN

18/02/2023 05:09 PM

MIRI, 18 Feb (Bernama) -- Sudah tiba masanya untuk menjadikan ketersambungan ultra pantas 5G sebagai keutamaan bagi rakyat Sarawak bukan sahaja di bandar dan bandar utama tetapi juga di kawasan pedalaman, kata Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Liwan Lagang.

Beliau berkata ini akan menjadikan kelajuan 5G ultra pantas akhirnya relevan kepada pengguna akhir untuk mengurangkan jurang digital bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negeri itu.

Menurut beliau ketersambungan ultra pantas akan membolehkan pelajar di kawasan luar bandar memperoleh sebanyak mungkin ilmu pengetahuan daripada guru dan pensyarah yang baik secara dalam talian seperti pelajar di bandar atau bandar utama.

Bercakap pada pameran teknologi 5G anjuran Ericsson dan Digital Nasional Berhad (DNB) di Curtin University di sini, beliau berkata ketersambungan ultra pantas boleh merapatkan jurang antara guru dan pelajar untuk menyampaikan pembelajaran jarak jauh yang berkualiti tinggi, masa nyata dan interaktif dalam bilik darjah yang didukung Metaverse menggunakan teknologi perkakasan Augmented Reality atau Virtual Reality (AR/VR).

“Adalah menjadi harapan saya agar aplikasi pendidikan generasi akan datang seperti yang kita saksikan di Curtin University tidak lama lagi akan dapat dilaksanakan di Sarawak. Saya juga tertarik dengan prospek mengaplikasikan teknologi ini dalam industri utama Sarawak,” katanya.

Liwan berkata pelaksanaan ketersambungan 5G akan menyumbang kepada pencapaian utama Sarawak dari segi ekonomi utama dan pekerjaan yang disokong dalam Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) iaitu meningkatkan ekonomi negeri daripada RM136 bilion pada 2019 kepada RM282 bilion pada 2030.

Pada pameran itu, beliau menyaksikan demonstrasi bagaimana subjek diajar oleh Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Syafiqah Saidin di Kuala Lumpur di hadapan sekumpulan pelajar di Curtin University di sini, apabila mereka semua berinteraksi menggunakan set kepala AR/VR. 

Ketua Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hägerbro berkata demosntrasi itu adalah contoh kukuh rangkaian 5G bertaraf dunia yang Ericsson tawarkan kepada DNB dan kemungkinan ia dibuka di Malaysia.

Beliau berkata kepakaran dan teknologi 5G Ericsson membolehkan DNB menyediakan ketersambungan ke sekolah, hospital dan perniagaan yang terletak di kawasan kurang mendapat perkhidmatan, yang tidak menjimatkan kos untuk menyediakan sambungan berwayar.

“Kami percaya teknologi yang dipamerkan di sini hari ini akan memberi laluan untuk merapatkan jurang digital, mempercepatkan aspirasi ekonomi digital Malaysia serta melengkapkannya dengan kelebihan untuk melonjak ke hadapan di rantau ini,” katanya.

-- BERNAMA