SMA LAKSANA 154 INISIATIF DIGITALKAN SARAWAK

09/02/2023 01:59 PM

KUCHING, 9 Feb (Bernama) -- Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) telah membangunkan 154 inisiatif dalam mendukung usaha mendigitalkan Sarawak.

Pengurus Besar SMA Dr Zaidi Razak berkata daripada 154 inisiatif tersebut, 64 dibangunkan sepenuhnya oleh SMA manakala bakinya dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan serta swasta di Sarawak.

“Kita amat berbangga apabila menerima Anugerah Reka Cipta London di London tahun lepas menerusi pembangunan aplikasi iSarawakCare yang menyatukan pelbagai permohonan melalui pendigitalan.

“Secara prinsip kita berjaya mengubah cara kerja satu kementerian kepada platform digital apabila pemohon dapat mengakses permohonan mereka daripada peringkat awal hingga akhir,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zaidi berkata inisiatif lain dibangunkan oleh SMA ialah aplikasi Sarawak ID yang sehingga kini mempunyai 881, 538 pengguna berdaftar.

“Banyak perkhidmatan yang ditawarkan oleh Kerajaan Sarawak melalui Sarawak ID apabila turut menyatukan perkhidmatan sektor kerajaan dan swasta,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai pembangunan infrastruktur lain yang dibangunkan SMA, Zaidi berkata sebuah lagi Hab Inovasi Digital (DIH) telah ditubuhkan dan beroperasi di kawasan Kapit.

Beliau berharap agar anak-anak muda mengambil peluang untuk terlibat dengan perkhidmatan digital yang disediakan oleh SMA melalui inisiatif-inisiatif terbabit. 

-- BERNAMA