PENGURANGAN PERUNTUKAN SUKARKAN PENYALURAN BANTUAN KE KAWASAN PEDALAMAN - NANTA

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi
06/02/2023 06:38 PM

SIBU, 6 Feb (Bernama) -- Keputusan untuk mengurangkan peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen akan menyukarkan penyaluran bantuan dan urus tadbir bagi kawasan di pedalaman, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Ahli Parlimen Kapit itu dalam kenyataan berkata pengurangan peruntukan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta itu akan memberi cabaran yang lebih besar kepada beliau dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat bagi kawasannya yang terletak di pedalaman yang keluasannya menyamai negeri Pahang.

"Sebagai ahli Parlimen dan ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, saya amat memahami dasar tindakan ini yang terpaksa diambil sebagai langkah penjimatan kewangan negara.

"Meskipun saya merasa sedikit terkilan, namun saya terpaksa menerima ketetapan ini dan berharap peruntukan ini akan dipertingkatkan oleh kerajaan dari masa ke semasa," katanya. 

Nanta yang juga Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata peruntukan sebelum ini membolehkan Ahli Parlimen membantu penduduk secara lebih efisien dan disalurkan secara langsung dan pantas tanpa perlu melalui pelbagai proses di peringkat pejabat daerah atau jabatan kerajaan.

"Tidak terhad kepada penduduk di kawasan pedalaman, peruntukan seumpama ini juga besar manfaatnya kepada penduduk bandar dan pinggir bandar,” katanya.

Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan peruntukan pembangunan tahunan kepada Ahli Parlimen dikurangkan dan akan dilaksanakan secara berperingkat sebagai langkah mengawal aliran kewangan negara.

Sementara itu di SRI AMAN, Nanta berkata beliau yakin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memahami cabaran yang semakin berat dihadapi Ahli Parlimen dalam memenuhi keperluan rakyat pada masa kini. ​​​​​​

Berikutan pengumuman pengurangan dana pembangunan daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta baru-baru ini, Nanta berkata beliau optimis dan berharap Perdana Menteri akan bersetuju untuk memberikan peruntukan yang lebih pada penghujung tahun nanti.

“Saya boleh terima (di) peringkat awal ini sebab ada juga kenyataan Perdana Menteri supaya ambil (keputusan) ini dulu. Nanti kita pertimbangkan kemudian dan jika ada keperluan, ia (penambahan peruntukan) akan dipertimbangkan.

Saya mengutamakan geran yang kita bagi secara terus kepada pelajar sekolah yang masuk universiti dan kolej, mereka memerlukan sedikit dana untuk tambang kapal terbang, kadangkala yuran perbelanjaan lain kita bagi dan juga kes kematian,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di seksyen Bukit Begunan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo di sini, hari ini. 

Beliau berkata kedua-dua pusat khidmat bagi kawasannya yang terletak di Song dan Kapit sentiasa dipenuhi penduduk yang mahu memohon bantuan. 

-- BERNAMA