LIBAT URUS BERTERUSAN DENGAN KEMENTERIAN UNTUK PERCEPAT PEMBANGUNAN PUSAT KANSER DI SARAWAK

Datuk Seri Dr Sim Kui Hian
23/01/2023 07:16 PM

KUCHING, 23 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sarawak akan terus mengadakan libat urus dnegan Kementerian Kesihatan dari semasa ke semasa bagi mempercepat pembangunan pusat kanser di negeri itu.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, yang juga Menteri Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Awam Negeri, berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberi taklimat mengenai rancangan untuk membina pusat itu semasa mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di sini baru-baru ini. 

“Premier kami (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) telah memaklumkan Perdana Menteri mengenai keperluan mendesak untuk membina pusat kanser itu, justeru secara prinsipnya, isu itu telah dimaklumkan dan untuk butiran lanjut, kami akan membuat susulan dengan jawatankuasa teknikal dan di peringkat kementerian selepas cuti Tahun Baharu China,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka di sini hari ini. 

Majlis itu turut dihadiri oleh Abang Johari, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali serta Menteri Telekomunikasi dan Utiliti Sarawak Datuk Julaihi Narawi.

Dr Sim berkata pusat kanser itu turut disenaraikan sebagai antara agenda bagi membolehkan Sarawak bergerak lebih jauh dalam mengambil alih autonomi pentadbiran berkaitan kesihatan.

Baru-baru ini, Abang Johari berkata kerajaan negeri bersedia membina pusat kanser itu menjelang akhir tahun ini jika Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan tersebut dan sanggup membiayai pembinaannya yang menelan kos kira-kira RM800 juta. 

Beliau berkata sebagai balasan, Kerajaan Persekutuan akan menyediakan doktor dan peralatan kepada Sarawak. 

-- BERNAMA