PEMUDA DIPERCAYAI EDAR DADAH DITAHAN DI PERMAI JAYA

05/01/2023 10:03 PM

SIBU, 5 Jan (Bernama) -- Seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan di rumahnya di Taman Permai di sini 11.30 pagi semalam kerana dipercayai mengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili dalam kenyataan berkata pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik yang membuat serbuan ke rumah itu menemukan dua balutan kertas timah berwarna keemasan berisi ketulan mampat daun-daun kering dipercayai ganja.

Beliau berkata polis turut menemukan 11 peket plastik lut sinar berisi daun-daun kering yang juga dipercayai ganja.

“Turut dirampas adalah sembilan botol kecil cecair vape dengan isipadu 10 milimeter disyaki dadah jenis ganja dengan anggaran berat kasar 173.7 gram dengan nilai RM900,” katanya.

Katanya berat ganja dirampas adalah 2.343 kilogram bernilai RM6,759.

Zulkipli berkata saringan air kencing suspek negatif namun dia mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Lelaki itu kini ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, katanya.

-- BERNAMA