KONTRAKTOR JAMBATAN BATANG RAMBUNGAN DIARAH SELESAIKAN MASALAH ALIRAN TUNAI, PEKERJA

Sarawak Deputy Chief Minister Datuk Amar Douglas Uggah Embas
06/12/2022 03:42 PM

KUCHING, 6 Dis (Bernama) -- Kontraktor yang membina Jambatan Batang Rambungan di sini bernilai RM98.5 juta, diarah menyelesaikan masalah aliran tunai dan pekerjanya.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penyiapan projek itu kini hampir tiga tahun tertangguh dan beliau bimbang dengan kelewatan itu.

“Saya dimaklumkan bahawa kelewatan itu disebabkan masalah aliran tunai dan pekerja. Sila selesaikannya secepat mungkin. Kerajaan akan menanggung beban atas ketidakpuasan hati rakyat jika projek ini terus tertangguh.

“Kontraktor juga akan dikenakan hukuman berat kerana tidak mematuhi jadual tarikh siap projek,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan melawat ke tapak pembinaan jambatan itu semalam untuk melihat kemajuan kerja.

Uggah berkata projek itu sepatutnya siap pada 16 Dis tahun ini, tetapi tarikh itu telah disemak semula ke 23 Jun tahun depan.

Beliau berkata kemajuan fizikal projek itu ialah 45 peratus pada masa ini berbanding jadual 82 peratus.

Kontraktor katanya, tidak dibenarkan menjalankan kerja-kerja sekiranya terdapat cukup bukti bahawa mereka tidak mampu berbuat demikian.

Jambatan dua lorong sehala sepanjang 560 meter itu ialah sebahagian daripada projek Jalan Pesisir Sarawak.

-- BERNAMA