HAMPIR RM800 JUTA DIPERUNTUK BAGI INFRASTRUKTUR ASAS SARAWAK TAHUN DEPAN

01/12/2022 04:23 PM

KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak menerima peruntukan RM795.711 juta bagi melaksanakan empat program infrastruktur asas tahun depan.

Menterinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata daripada jumlah itu, RM490.941 juta diperuntukkan bagi infrastruktur darat manakala RM83.86 juta untuk infrastruktur sungai.

“(Sejumlah) RM167.41 juta untuk bangunan kerajaan (pembangunan) dan RM53.5 juta bagi bangunan awam,” katanya pada penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Uggah yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata pembangunan rangkaian jalan pesisir Sarawak akan diteruskan tahun depan membabitkan penggantian tujuh perkhidmatan feri ke jambatan utama, pembinaan jalan penghubung dan naik taraf sepanjang 331 kilometer (km) sepanjang 896 km pesisir pantai.

“Bagi pembinaan beberapa jambatan dan jalan raya, 13 pakej kerja telah dianugerahkan (dan) dalam pelbagai peringkat pelaksanaan yang dijangka siap menjelang 2025,” katanya.

Mengenai kerja menaik taraf jalan pantai, Uggah berkata lapan daripada 29 pakej kerja telah disiapkan manakala bakinya akan dilaksanakan secara berperingkat yang dijangka siap menjelang 2024.

Beliau berkata bagi projek Jalan Utama Kedua, enam daripada 14 pakej kerja dijadualkan siap menjelang 2025. 

Bagi pembinaan pelabuhan di negeri ini, Uggah berkata kajian pelan induk pelabuhan akan dimulakan pada suku pertama tahun depan dengan Lembaga Pelabuhan Miri dipilih sebagai perintis.

Menurut Uggah, Lembaga Pelabuhan Kuching telah diperuntukkan RM70 juta untuk melengkapkan pelabuhan itu dengan kren dermaga, RM30.5 juta untuk memasang sistem pengurusan trafik kapal (VTMS) dan RM56.9 juta untuk lapangan kenderaan dan kemudahan berkaitan.

Katanya pemasangan sistem bantuan pelayaran (AtoN) di Pelabuhan Tanjung Manis sudah 90 peratus siap dan dijangka boleh digunakan pada suku pertama tahun depan.

 -- BERNAMA