PERDAGANGAN SARAWAK MELONJAK 55 PERATUS KERADA RM141.2 BILION - TIMBALAN PREMIER

Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan
01/12/2022 03:03 PM

KUCHING, 1 Dis (Bernama) -- Jumlah perdagangan luar negeri Sarawak untuk lapan bulan pertama tahun ini meningkat 55 peratus kepada RM141.2 bilion berbanding RM91.1 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata eksport dan import negeri Sarawak masing-masing meningkat 61.1 peratus dan 38.6 peratus.

“Aktiviti berkaitan perdagangan juga dijangka kekal kukuh pada tahun 2022. Harga komoditi yang utuh terus memacu pertumbuhan eksport terutamanya dalam minyak dan gas, aluminium, ferroaloi serta minyak sawit mentah,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementerian beliau di persidangan Dewan Undangan Negeri di sini.

Beliau berkata 28 projek sektor pembuatan membabitkan pelaburan berjumlah RM2.26 bilion telah diluluskan antara Januari dan Jun tahun ini, sebanyak RM1.02 bilion daripadanya diluluskan di bawah Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (ICA) dan RM1.24 bilion di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Perindustrian Negeri (ICC).

Tiga projek yang diluluskan di bawah ICA adalah untuk produk elektrik dan elektronik (substrat untuk cakera keras) dengan pelaburan RM1 bilion; produk kaca (RM10 juta); dan bot tunda (RM9 juta).

Baki 25 projek yang diluluskan di bawah ICC adalah terutamanya produk elektrik dan elektronik yang melibatkan jongkong solar dan wafer (RM1.128 bilion), air minuman dalam botol (RM50.9 juta), makanan diproses (RM19.3 juta) dan perkhidmatan pergudangan, logistik dan kejuruteraan (RM18.2 juta).

Awang Tengah berkata pelaburan ini dijangka mewujudkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan, selain daripada projek yang diluluskan ini, kementerian juga menerima permohonan untuk 46 projek dengan jumlah cadangan pelaburan RM41.9 bilion.

Pelaburan baharu ini berjumlah RM35.45 bilion termasuk keluli hijau dan produk kimia manakala RM6.47 bilion adalah pelaburan semula oleh pelabur sedia ada yang melibatkan cip wafer silikon, kerajang tembaga dan jongkong solar serta wafer.

“Hakikat bahawa pelabur ini terus melabur semula dan mengembangkan perniagaan mereka di Sarawak pada masa yang mencabar ini jelas menggambarkan keyakinan mereka terhadap cara kami menguruskan ekonomi dan kestabilan politik yang kami ada,” katanya.

-- BERNAMA