SAMBUNGAN 5G UNTUK BANDAR SIBU TAHUN DEPAN - PENGERUSI SMC

30/11/2022 05:06 PM

SIBU, 30 Nov (Bernama) -- Bandar Sibu akan menikmati sambungan internet yang pantas apabila pemasangan 88 unit menara 5G siap tahun depan.

Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (SMC) Clarence Ting Ing Horh berkata pemasangan menara itu akan dilaksanakan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan).

Beliau berkata SMC telah mengeluarkan surat sokongan kepada DNB untuk memasang menara berkenan yang berukuran tidak lebih daripada tiang lampu rumah biasa.

“Ia bukan menara setinggi 60 kaki (18 meter). Ia kecil seperti tiang lampu rumah. Mereka akan memasangnya di atas kawasan tanah SMC,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat majlis penuh SMC di sini hari ini.

Beliau berkata kerja-kerja pemasangan menara 5G sebelum ini agak perlahan berikutan bantahan daripada orang ramai kerana ia terletak berdekatan dengan kawasan milik individu, dan bantahan turut berlaku di bahagian lain di Sarawak, yang mengakibatkan sambungan 5G buat penduduk negeri menjadi agak lewat.

Sementara itu, Ting berkata mulai tahun depan SMC akan mula mengeluarkan kompaun terhadap pengusaha makanan di Sibu yang didapati membuang minyak masak terpakai ke dalam longkang.

Beliau berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu didapati mengakibatkan longkang di beberapa tempat sekitar bandar tersumbat, dan pihaknya terpaksa melakukan pembersihan lima hingga enam kali seminggu, yang menurutnya tidak wajar berlaku.

Beliau yang menganggap situasi itu sebagai penyalahgunaan oleh pengusaha makanan, Ting berkata beliau akan menyokong penuh apa jua tindakan yang akan diambil terhadap mereka oleh unit penguatkuasaan SMC.

-- BERNAMA