SDEC LANCAR RANGKA TINDAKAN JADIKAN SARAWAK KUASA BESAR PERUSAHAAN SOSIAL

 Sarawak Digital Economy Corporation Bhd (SDEC)
17/11/2022 07:16 PM

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) melancarkan SE*Hebat Sarawak Blueprint untuk membangunkan potensi negeri ini menjadi kuasa besar perusahaan sosial (SE) di negara ini.

SDEC dalam kenyataan hari ini memaklumkan matlamat utama rangka tindakan itu adalah untuk membangunkan lebih banyak ekosistem berpaksikan komuniti dan perniagaan yang memberi impak di negeri ini.

“Rangka tindakan ini menggariskan empat teras strategi untuk mewujudkan ekosistem matang yang menyokong keusahawanan sosial merangkumi empat dimensi yang meliputi dasar dan peraturan; penyelesaian pembiayaan; infrastruktur dan modal insan; serta pengetahuan dan rangkaian maklumat.

“Rangka tindakan ini juga disesuaikan khusus untuk memenuhi keperluan rakyat Sarawak, seterusnya menyokong kepelbagaian budaya di negeri ini dan mencari penyelesaian untuk menguruskan isu tempatan,” menurut kenyataan itu.

SDEC menjelaskan SE*Hebat Sarawak Blueprint turut memberikan pandangan kepada organisasi yang memulakan pembangunan SE di Sarawak untuk memastikan mereka akan diberi kelengkapan terbaik dan boleh mengoptimumkan program dan inisiatif mereka.

“Semua agensi sektor awam dan swasta digesa mengambil bahagian kerana visi ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak. Hal ini akan membolehkan ekosistem SE lebih teguh yang membolehkan Sarawak mara ke arah matlamatnya,” menurut kenyataan itu.

Pada masa ini, SDEC memaklumkan Sarawak menyumbang tujuh peratus perusahaan sosial di Malaysia dan lebih banyak perniagaan tradisional didapati cenderung ke arah memberi impak dan bukannya  berorientasikan keuntungan semata-mata.

Menurut takrifan Pusat Kreativiti dan Inovasi Global Malaysia (MaGIC), SE bermaksud entiti perniagaan yang berdaftar di bawah sebarang undang-undang bertulis di Malaysia yang menghasilkan impak sosial atau alam sekitar yang positif secara proaktif dan pada masa sama mempunyai kemampuan kewangan yang mampan.

Orang awam kini boleh melihat atau memuat turun SE*Hebat Sarawak Blueprint menerusi https://sehebat.sarawak.digital/ mulai hari ini.

-- BERNAMA