PRU15: CUTI UMUM DI SARAWAK 18 NOV - ABANG JOHARI

Sarawak Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg (File pix)
15/11/2022 04:58 PM

SIBU,15 Nov (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan 18 Nov sebagai cuti umum bagi membolehkan pengundi di negeri itu membuat persiapan bagi melaksanakan proses demokrasi sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 Nov ini.

Beliau berkata pemberian cuti itu adalah selaras dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beliau juga sudah berbincang dengan Ismail Sabri mengenainya semasa perasmian pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau semalam.

"Saya beritahu (Ismail Sabri) kalau ini keputusannya maka Sarawak akan mengumumkan cuti pada 18 Nov seperti juga kerajaan pusat. Ini adalah untuk kita memberi ruang proses demokrasi berjalan dengan baik," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Daerah Tanjong Manis, kira-kira 105 kilometer dari sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh serta calon Gabungan Parti Sarawak bagi Parlimen Tanjong Manis Yusuf Abd Wahab.

Semalam, semasa merasmikan majlis pecah tanah Wisma CUEPACS di Putrajaya, Perdana Menteri mengumumkan 18 dan 19 Nov sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan pengundi menunaikan tanggungjawab pada PRU15, sejurus tiba dari Selangau, Sarawak.

-- BERNAMA