LEBIH 16,000 PERANTISISWA TELAH DIAGIHKAN DI SARAWAK

Photo: Tan Sri Annuar Musa Facebook
14/11/2022 06:13 PM

SELANGAU, Sarawak, 14 Nov (Bernama) -- Sejumlah 16,505 pelajar keluarga B40 yang berkelayakan di Sarawak telah menerima tablet di bawah program PerantiSiswa Keuarga Malaysia.

Program inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-Kom) dengan Kerjasama Kementerian kewangan dan Kementerian Pengajian Tinggi telah menerima 22,265 permohonan di Sarawak.

"Jadual agihan telah diaturkan oleh pihak K-Kom dan baki mahasiswa yang layak akan menerima tablet masing-masing dalam masa yang terdekat," menurut siaran akhbar untuk Sesi Pengagihan PerantiSiswa Keluarga Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob di sini. 

Seramai 25 pelajar menerima tablet daripada Perdana Menteri pada sesi yang diadakan sempena Majlis Perasmian Pembukaan Lebuhraya Pan Borneo Seksyen Selangau, di sini, hari ini. 

Hampir 400 mahasiswa menerima tablet tersebut pada Sesi Perjumpaan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama penerima biasiswa Kerajaan Negeri Sarawak di Universiti Teknologi Sarawak di Sibu, selepas itu.

Secara keseluruhannya K-Kom telah menerima 470,000 permohonan dan hampir 350,000 permohonan telah diluluskan.

Lebih 220,000 atau 60 peratus tablet telah diedarkan di seluruh negara dalam masa lebih kurang dua bulan.

-- BERNAMA