TIGA MAUT TERPERANGKAP DALAM KEBAKARAN

Photo: JBPM Sarawak
14/11/2022 12:24 AM

KUCHING, 13 Nov (Bernama) -- Tiga individu termasuk dua wanita ditemukan maut setelah terperangkap dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Gita di sini, malam ini.

Mangsa yang maut ialah bekas Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Affendi @ Pandi Keli, 69, anaknya Aneeqa, 35, dan anak saudaranya Nor Hasyidah Ajis, 22.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 7.03 malam, dan kesemua mangsa ditemukan terperangkap di tingkat atas rumah berkenaan.

“Setibanya di tempat kejadian, bomba mendapati rumah teres dua tingkat berstruktur kekal itu terbakar 100 peratus, manakala sebuah lagi rumah turut terbakar sebahagiannya, selain empat kenderaan turut musnah.

“Ketiga-tiga mangsa dipercayai lemas selepas terperangkap dalam asap tebal,” katanya dalam kenyataan.

Jurucakap itu memaklumkan operasi mengawal serta memadam kebakaran berakhir pada jam 11 malam dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pati punca kejadian.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan lanjut.

-- BERNAMA