LAGU ‘KAMEK MILIH NANCY’ TARIK PERHATIAN DI SANTUBONG

Malaysia's Tourism, Arts and Culture Minister Datuk Seri Nancy Shukri (File pix)
12/11/2022 10:48 PM

KUCHING, 12 Nov (Bernama) -- Lagu ‘Kamek Milih Nancy’ (Saya Pilih Nancy) menjadi strategi terbaharu calon GPS kerusi Parlimen Santubong, Datuk Seri Nancy Shukri dalam kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini bagi meraih sokongan pengundi.

Lagu dalam dialek Melayu Sarawak yang dimainkan menerusi pembesar suara buat kali pertama hari ini menarik perhatian orang ramai yang berada di sekitar medan selera dan Pasar Townsquare Sematan kira-kira 115 kilometer dari sini.

Lagu yang dihasilkan bekas Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) Prof Madya Dr Sahar Sa’di Hashim itu berkonsepkan kegembiraan dan keriangan nyanyian pelajar ASWARA, didedikasikan khas buat Nancy yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya. 

Penyandang Parlimen Batang Sadong selama tiga penggal itu bertanding buat kali pertama di kerusi Parlimen Santubong bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penyandangnya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengambil keputusan mengundur diri.

Nancy dicabar Mohamad Zen Peli (PH-Amanah) dan calon Bebas, Affendi Jeman.

Terdahulu, Nancy menghadiri Program Pengembangan Ilmu Cakna Kraf anjuran Kraftangan Malaysia yang bertujuan memberi pendedahan secara terus berkaitan asas pembuatan produk kraf Malaysia berskala besar selain menyaksikan serahan kit pendidikan Cakna Kraf 2022 bagi aktiviti mewarna batik dan anyaman bakul rotan kepada lima sekolah terpilih. 

Setiap sekolah berkenaan turut menerima 100 kit pendidikan yang diberikan kepada 500 pelajar manakala bagi acara fizikal pula, seramai 200 pelajar terlibat dalam aktiviti mewarna batik dan membuat anyaman bakul rotan.

-- BERNAMA