KERAJAAN SARAWAK SEDIA BIAYAI PENYELIDIKAN GETAH SEBAGAI BAHAN BINA JALAN

02/11/2022 05:24 PM

KUCHING, 2 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak bersedia membiayai Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) untuk menjalankan penyelidikan mengenai keberkesanan getah sebagai bahan pembinaan jalan di kawasan tanah gambut, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

Sehubungan itu, beliau berkata SRDC perlu mempertimbangkan perkara ini dan bekerjasama dengan agensi seperti Jabatan Kerja Raya untuk mengenal pasti penyelesaian terbaik masalah struktur jalan di tanah gambut terutamanya di Sibu dan Mukah.

“Sekiranya SRDC dapat menjadikannya sebagai penyelesaian berkesan terhadap masalah ini, ia pasti akan mengubah seluruh landskap pembinaan jalan di tanah gambut terutamanya di kawasan ini (Sibu dan Mukah),” katanya ketika berucap merasmikan Simposium Penyelidikan dan Pembangunan SRDC di sini hari ini.

Abang Johari berkata kerajaan negeri akan menyediakan sebatang jalan kepada SRDC bagi tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Abang Johari berkata SRDC perlu memperkasa landskap penyelidikan dengan mempermudah program R&D di Sarawak dan di peringkat antarabangsa menerusi pelbagai disiplin kerjasama penyelidikan dalam kalangan agensi, institusi dan industri.

“Sarawak perlu mempercepat penciptaan dan pertumbuhan ekosistem R&D bertaraf dunia yang baik, mampan dan berdaya saing,” katanya.

SRDC menerima geran hampir RM13 juta untuk 11 organisasi termasuk universiti, agensi penyelidikan kerajaan dan perusahaan kecil dan sederhana pada 2019 dan 2020.

Simposium dua hari bertemakan Research That Matters yang bermula hari ini, menarik penglibatan lebih 200 individu daripada agensi penyelidikan dan universiti berpangkalan di Sarawak serta sektor swasta dan akan mempamerkan penyelidikan yang telah dibiayai oleh skim Geran Penyelidikan SRDC sejak 2019.

-- BERNAMA