KOMUNITI DI SARAWAK DIGALAKKAN MOHON TUBUH PAWE - NANCY

20/04/2024 01:02 PM

KUCHING, 20 April (Bernama) -- Komuniti setempat di Sarawak digalakkan untuk membuat permohonan bagi penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di kawasan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata buat masa ini, Sarawak hanya mempunyai 13 PAWE dan jumlah itu tidak mencukupi bagi sebuah negeri yang besar.

Beliau berkata permohonan boleh dibuat kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan setiap Parlimen dibenarkan untuk membuka lebih satu PAWE.

“Pusat PAWE ini adalah untuk warga emas berkumpul melakukan aktiviti seperti keagamaan, rekreasi dan juga aktiviti ekonomi seperti perniagaan," katanya kepada pemberita semasa Majlis Ramah Mesra Aidilfitri bersama kumpulan sasar kementeriannya di sini hari ini.

Nancy berkata selain itu, bantuan berkaitan dengan PAWE juga akan diberikan tidak lebih RM100,000 setahun kepada komuniti yang menubuhkan rumah warga emas itu.

-- BERNAMA