PEMANDU LORI MAUT TONG MINYAK MELETUP

ACP Zulkipli Suhaili
18/04/2024 09:46 PM

​SIBU, 18 April (Bernama) -- Seorang pemandu lori maut selepas sebuah tong minyak hidraulik meletup di pusat besi buruk di Jalan Tunku Abdul Rahman di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata polis menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 1.30 tengah hari dan pasukan dari Balai Polis Sentral dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu telah digerakkan ke lokasi kejadian. 

Menurut beliau, mangsa, seorang warga tempatan berusia 37 tahun itu cedera parah di kepala dan putus tangan kiri.  

"Saksi awam di tempat kejadian mengatakan mangsa memegang sebatang besi dan menuju ke arah bengkel di pusat besi buruk itu dan dipercayai telah memotong batang besi berkenaan di atas sebuah tong minyak hidraulik dengan menggunakan pemotong oksigen.

"Akibat kepanasan, tong terbabit telah mengembang dan meletup. Kejadian ini tidak mengakibatkan kerosakan atau kecederaan yang lain. Tiada sebarang unsur jenayah berlaku," katanya dalam kenyataan media malam ini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan menyeru orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi terhadap kejadian yang berlaku.

-- BERNAMA