SARAWAK PAVILION KEMBALI KE IMEX FRANKFURT PADA 14-16 MEI

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
17/04/2024 07:49 PM

KUCHING, 17 April (Bernama) -- Sarawak Pavilion kembali membuat kemunculan di IMEX Frankfurt, Jerman pada 14 hingga 16 Mei.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata IMEX Frankfurt ialah pameran perdagangan terbaik untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi acara perniagaan selain memperkenalkan negeri itu kepada dunia.

“Perbincangan di IMEX tahun ini adalah impak dengan misi mengumpulkan komuniti acara perniagaan global untuk menjalankan perniagaan dan memacu penyelesaian mengenai isu yang mencabar manusia dan planet ini.

“Sarawak berkongsi misi sama, justeru, Sarawak Pavilion bertemakan Business Events Support Community Development, meraikan keutamaan industri dalam menerajui perubahan sosial dan ekonomi melalui acara perniagaan,”  katanya pada sidang media di sini hari ini.

Abdul Karim berkata perkara kedua adalah mengenai impak warisan kerana Sarawak dianggap satu daripada destinasi paling berjaya di dunia berkaitan legasi acara perniagaan.

“Untuk terus membina status kita sebagai modal warisan acara perniagaan di Malaysia dan Borneo, pameran mini mengenai impak warisan akan diadakan bersama dengan pelancaran Jilid 2 Isu 2 Jurnal Antarabangsa Acara dan Legasi Perniagaan. 

“Perbincangan ketiga dan paling menarik akan diketuai Persatuan Seni dan Warisan Kulinari, Rangkaian Bandar Kreatif UNESCO Kuching dan penyedia Makanan dan Minuman The Bibber’s Tale. Tahun ini kita mempamerkan hubungan menarik antara acara perniagaan dan komuniti makanan dan minuman yang kreatif,”  katanya.

Sementara itu, Business Event Sarawak dalam kenyataan memaklumkan Sarawak adalah satu daripada 2,900 peserta pameran dan lebih 3,800 pelawat bertemu di bawah satu bumbung.

IMEX Frankfurt ialah pameran perdagangan acara perniagaan terbesar di Eropah dan antara yang terkemuka di dunia berlangsung di tapak pameran Messe Frankfurt.

Menurut kenyataan itu pada edisi tahun lepas, IMEX Frankfurt menerima lebih 11,000 pelawat dan membantu pempamer mendapatkan lebih 57,000 pertemuan.

-- BERNAMA