WANITA GPS SERAH SENARAI CALON BERPOTENSI KEPADA PREMIER

Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) chief, Datuk Seri Fatimah Abdullah.
17/11/2026 06:08 PM

KUCHING, 17 Nov (Bernama) -- Senarai nama calon wanita yang berpotensi mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 telah diserahkan untuk pertimbangan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ketua Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata keputusan muktamad berhubung pemilihan calon, termasuk jumlah wakil wanita yang akan diketengahkan terletak sepenuhnya di tangan Abang Johari selaku Pengerusi GPS.

“Saya berharap lebih ramai wanita diberi peluang untuk menjadi calon kerana golongan itu mempunyai perspektif dan kekuatan tersendiri dalam menyumbang kepada pembangunan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita GPS di ibu pejabat PBB di sini hari ini.

Mengenai strategi kempen, Fatimah berkata jentera Wanita GPS kini berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya, menggabungkan pengalaman pilihan raya terdahulu dengan aplikasi teknologi terkini bagi memastikan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

“Dalam usaha mendekati pengundi muda, semua sayap GPS perlu menggembleng kekuatan masing-masing dan bergerak sebagai satu pasukan, bukan hanya bergantung kepada jentera Wanita.

“Pendekatan itu penting bagi memastikan pengundi daripada semua peringkat umur, jantina dan lokaliti dapat disantuni serta digalakkan keluar mengundi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap PBB Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata peranan wanita amat penting dalam membantu GPS mempertahankan kemenangan, mengambil kira demografi pengundi Sarawak yang seimbang antara lelaki dan wanita.

GPS dianggotai oleh PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progressif (PDP).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal pada 8 Dis dan hari mengundi pada 12 Dis.

-- BERNAMA