POLIS TAHAN DUA WANITA, RAMPAS DADAH RM347,520 DI KUCHING

ACP Alexson Naga Chabu
23/10/2026 02:45 PM

KUCHING, 23 Okt (Bernama) -- Polis menahan dua wanita dan merampas 724 katrij disyaki mengandungi cecair ganja bernilai RM347,520 dalam operasi di sebuah kediaman di Jalan Wan Alwi di sini pada 20 Okt.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata suspek terdiri daripada seorang warga tempatan berusia 29 tahun dan seorang warga asing 25 tahun.

“Sindiket dipercayai aktif dari Ogos 2026 dengan menggunakan aplikasi komunikasi digital untuk berhubung dengan pembeli dan bekalan dadah dihantar di sekitar Kuching,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata suspek direman lima hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Alexson berkata dalam operasi berasingan pada 2.47 pagi tadi, polis menahan lapan lelaki warga asing berusia 19 hingga 38 tahun di sebuah kediaman di Jalan Datuk Tawi Sli yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan perjudian dalam talian tidak wujud.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis merampas komputer serta telefon bimbit dan sindiket itu dipercayai menyasarkan mangsa dari negara jiran.

Kesemua suspek yang dipercayai bekerja dengan sindiket itu direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA