BELANJAWAN 2027: KPWKM CADANG TAMBAHAN RM168 JUTA BAGI KEBAJIKAN KUMPULAN SASAR
KUCHING, 24 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mencadangkan tambahan kira-kira RM168 juta dalam Belanjawan 2027 bagi memperkukuh kebajikan kumpulan sasar termasuk sektor penjagaan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Nancy Shukri berkata cadangan itu turut merangkumi penambahan sokongan kepada penjaga warga emas yang banyak menjalankan tugas sebagai pekerja penjagaan tanpa upah di rumah.
“Jumlah keseluruhan peruntukan kebajikan yang dicadangkan oleh kementerian ialah hampir RM4 bilion, termasuk kira-kira RM3 bilion diperuntukkan kepada penerima kebajikan sedia ada, manakala tambahan baharu ini adalah termasuk memperkasakan sektor penjagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Inisiatif Sektor Penjagaan Di Bawah Belanjawan Madani 2026 di sini hari ini.
Nancy juga berkata kerajaan menetapkan sasaran melahirkan 50,000 penjaga secara keseluruhan melibatkan warga emas, orang kurang upaya, kanak-kanak dan komuniti selain pegawai kebajikan.
“Namun untuk tahun ini, kita sasarkan 2,000 orang sehingga April ini,” katanya.
-- BERNAMA
