85 SEKOLAH DAIF KRITIKAL DI SARAWAK DIBANGUNKAN SEMULA DI BAWAH PROJEK RM1 BILION

Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn
10/07/2026 07:22 PM

SIBU, 10 Julai (Bernama) -- Sebanyak 85 sekolah daif kritikal di Sarawak berjaya dibaik pulih menerusi Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di bawah peruntukan RM1 bilion sekali gus memberi manfaat kepada ribuan murid di seluruh negeri.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata pencapaian itu membuktikan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak berjaya mempercepat pelaksanaan projek pembangunan semula sekolah secara lebih sistematik serta berkualiti.

"Setiap projek yang disiapkan bukan sekadar menambah baik infrastruktur malah membuka lembaran baharu kepada pembangunan pendidikan di negeri ini," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pembangunan Semula Sekolah Daif di bawah Peruntukan RM1 Bilion di Sekolah Kebangsaan (SK) Dato Penghulu Imban, Sekuau hari ini.

Beliau berkata di daerah Selangau, lima sekolah telah dibangunkan semula menerusi projek berkenaan, iaitu SK Dato Penghulu Imban, SK Batu 36, SK Dijih, SK Sungai Sepiring dan SK Sangan Iban.

Menyentuh mengenai SK Dato Penghulu Imban, Sagah berkata projek bernilai RM8.4 juta itu meliputi pembinaan blok akademik 12 bilik darjah, blok pentadbiran, empat kuarters guru dan kemudahan tandas.

Beliau berkata projek itu, yang bermula pada 27 Okt 2021, siap sepenuhnya pada 31 Ogos 2023 dan memperoleh Sijil Penyiapan Praktikal pada 25 Sept 2023.

"Kemudahan baharu ini bukan sahaja menggantikan bangunan lama yang uzur malah melambangkan komitmen kerajaan dalam memastikan murid di luar bandar menikmati kemudahan pendidikan setanding dengan sekolah di kawasan bandar," katanya.

-- BERNAMA