SANDBOX TEKNOLOGI DAN INOVASI SARAWAK DILANCAR, SASAR JADI HAB TEKNOLOGI MAJU
KUCHING, 21 Okt (Bernama) -- Sandbox Inovasi dan Teknologi Sarawak (STI Sandbox) telah dilancarkan, sekali gus menjadi langkah penting dalam memacu usaha negeri itu menjadi sebuah hab teknologi maju.
Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) berkata STI Sandbox akan menjadi platform utama untuk kalangan inovator tempatan dan global melakukan pengujian, membangun dan mengkomersialkan teknologi maju.
Dalam keselamatan komputer misalnya, sandbox menjadi mekanisme keselamatan bagi mengasingkan program sedang berfungsi, lazimnya dalam usaha mengurangkan kegagalan sistem daripada menular.
“Program Rintis STI Sandbox berperanan penting dalam memupuk inovasi rentas sektor seperti teknologi pertanian (Agritech), bandar pintar, industri budaya serta teknologi hijau.
“Ini bagi menjadikan Sarawak sebagai hab keselamatan makanan terkemuka melalui penggunaan penyelesaian AgriTech dan AquaTech, meningkatkan produktiviti selain menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Sarawak 2030," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Ekosistem MRANTI Safuan Zairi berkata STI Sandbox adalah medan penting ke arah pencapaian teknologi secara pantas dan pengkomersialan inovasi berimpak tinggi tempatan.
“Menerusi penyediaan persekitaran dinamik kepada inovator bagi ujian sebenar penyelesaian dan inovasi teknologi terkini, MRANTI berbangga untuk menyokong Sarawak dalam misi menjadi peneraju dalam transformasi dan kemampanan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).
“Inisiatif bandar pintar di bawah program ini pula akan meningkatkan aspek perancangan bandar dan kecekapan sistem awam serta menyumbang kepada matlamat Sarawak menjadi destinasi pelaburan terkemuka menjelang 2030," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) Datuk Sudarnoto Osman berkata menerusi STI Sandbox, Sarawak dapat menjalin kerjasama antara bakat tempatan dengan pakar global, memajukan ekonomi digital serta menjadikan negeri itu dalam kedudukan lebih baik sebagai penggiat utama ekosistem teknologi Asia Tenggara.
Sandbox itu adalah yang ke-14 di bawah inisiatif Sandbox Teknologi dan Inovasi Negara.
-- BERNAMA
