SARAWAK RANGKUL EMAS BOLA TAMPAR WANITA

23/08/2024 12:30 PM

SIBU, 23 Ogos (Bernama) -- Pasukan bola tampar wanita Sarawak menepati ramalan merangkul emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menumpaskan Selangor 3-1 dalam aksi final yang berlangsung di Dewan Bola Tampar Rejang Park, di sini hari ini.

Pada perlawanan akhir itu, anak buah Sanong Kulchim yang menerima sokongan padu penyokong tuan rumah mendominasi perlawanan dengan perejam Joan Yu Yian seolah-olah tiada tandingan mengutip mata demi mata menerusi rejamannya sekali gus menang set pertama 25-15.

Set kedua menyaksikan Selangor dibimbing Goh Tzer Nam cuba bangkit namun kehandalan skuad Sarawak sukar digugat apabila tumbang 16-25.

Enggan maruah terus tercalar, set ketiga menyaksikan skuad Selangor memperkemas permainan dan berjaya mencuri satu mata apabila mencatatkan kemenangan 25-19.

Mata kemenangan Sarawak muncul pada set keempat setelah melakar kemenangan 25-18 sekali gus memaksa Selangor berpuas hati dengan pingat perak.

Pingat gangsa dimenangi Wilayah Persekutuan apabila menewaskan juara bertahan Johor 3-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat yang berlangsung semalam.

Sanong ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata kemenangan itu dicapai hasil kerja keras pasukan dalam latihan selama ini.

Sokongan padu daripada penonton juga, katanya memberikan mereka tuah untuk mencapai kemenangan di samping membakar semangat terus berjuang setiap kali pasukan gagal mengutip mata.

Pembantunya Angela Tang ketika ditanya mengenai kekalahan Sarawak pada set ketiga berkata keterujaan pemain diketuai Moh Sheau Jun untuk menang menyebabkan mereka melakukan kesilapan yang pantas dihukum oleh pasukan Selangor.

“Pada set keempat saya beritahu mereka (pemain) supaya bertenang dan menumpukan perhatian kepada permainan dan atas sokongan padu penonton, mereka bangkit semula dan menang,” katanya.

Moh pula menyatakan rasa bangga kerana pasukannya menghadiahkan pingat emas untuk Bumi Kenyalang yang kali terakhir memenangi acara itu pada SUKMA 2013.

Beliau berterima kasih kepada Sanong dan Tang atas tunjuk ajar mereka, sokongan moral oleh Pengerusi Persatuan Bola Tampar Sibu Datuk Moh Wung Ming serta penonton yang hadir di stadium hari ini.

-- BERNAMA