BATALION BAHARU PGA AKAN DITUBUHKAN DI SRI AMAN - KOMANDER BRIGED SARAWAK

Sarawak General Operations Force (GOF) Brigade commander, SAC Dr Che Ghazali Che Awang (middle) after an initial aerial survey in conjunction with the Inspector-General of Police (IGP) MADANI to Sarawak programme, here, today.
04/04/2024 04:50 PM

KUCHING, 4 April (Bernama) -- Satu batalion baharu Pasukan Gerakan Am (PGA) akan ditubuhkan di Sri Aman untuk meningkatkan kawalan keselamatan di sempadan Sarawak dan Kalimantan, Indonesia.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Dr Che Ghazali Che Awang berkata batalion berkenaan berkemungkinan akan diwujudkan pada tahun ini. 

“Jadi kita pun ada kemungkinan ada satu batalion lagi akan ditambah di Briged Sarawak PGA….dengan ada satu batalion lagi kekuatan kita ni akan lagi siap siaga di sempadan Sarawak. 

“Pasukan PGA memberi fokus untuk menjaga kawasan keselamatan dan aktiviti haram ataupun yang lebih fokusnya aktiviti kontraban di kawasan sempadan,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan udara awal sempena Program MADANI Ketua Polis Negara ke Sarawak, di sini, hari ini.

Menurut Che Ghazali, sempena musim perayaan ini, pihaknya turut memperketatkan kawalan di sempadan bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya barangan bersubsidi seperti minyak masak dan tong gas ke negara jiran. 

Mengenai program MADANI Ketua Polis Negara ke Sarawak yang bakal berlangsung dari 9 hingga 10 April ini di pos kawalan sempadan Telok Melano, beliau berkata lebih 600 orang dijangka hadir memeriahkan majlis itu dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Tentera Nasional Indonesia dan Polis Indonesia.

Terdahulu, beliau meluangkan masa hampir sejam 30 minit bagi meninjau sekitar kawasan sempadan Telok Melano-Temajuk yang terletak di penghujung selatan Sarawak.

-- BERNAMA