KEHIDUPAN DI SARAWAK PERLU DITELADANI - PM ANWAR

Anwar Ibrahim fb
30/03/2024 11:38 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu meneladani kehidupan di Sarawak yang tenang dengan rakyatnya hidup dalam perpaduan meskipun rencam kaum, agama dan budaya, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran menerusi laman Facebook hari ini, beliau berkata sebarang isu dan perbezaan di negeri itu diurus dengan hikmah, ihsan dan kasih sayang berbanding pergaduhan, amarah dan kebencian.

Menurut Anwar beliau menyentuh perkara itu memandangkan sikap segelintir masyarakat sejak kebelakangan ini, yang begitu mudah membelit diri dengan isu-isu lama dan gemar memperbesarkan masalah kecil hingga melarat menjadi mudarat.

Anwar Ibrahim fb

Selain itu, katanya keamanan dan kestabilan politik di Sarawak dengan barisan pimpinan yang menggunakan kedudukan dan kuasa untuk rakyat, membolehkan hubungan erat terjalin antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Hubungan ini membolehkan kita mewujudkan kerjasama luar biasa, dengan buat julung kalinya kerajaan Persekutuan dapat menyerahkan tanggungjawab dan kepercayaan penuh buat kerajaan negeri untuk memulakan projek pembangunan tertentu.

“Kerjasama ini membolehkan pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan klinik, khususnya di luar bandar dan pedalaman dibangunkan dengan lebih pantas dan kos lebih rendah berbanding kaedah biasa,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI di pekarangan Masjid Al-Muttaqin di Kota Samarahan, Sarawak bersama kira-kira 2,000 masyarakat setempat.

Pada majlis itu, beliau turut mengingatkan semua umat Islam untuk menyelami ibrah Ramadan tahun ini dan meningkatkan iman dan amal yang menjadi teras kepada disiplin serta integriti diri.

-- BERNAMA